July 31, 2009

Kelebihan Bulan Syaaban

SAIDATINA Aishah r.a ada berkata, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka, juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus."

Bulan yang dinyatakan dalam hadis terbabit adalah antara yang disebut-sebut banyak kelebihan, sehingga hadis berkenaan menyatakan mereka yang berpuasa tidak akan lapar dan haus pada hari kiamat kelak.

Dalam memberikan penjelasan berkaitan tiga bulan yang berturut-turut itu, ada pihak membuat perumpamaan tahun dengan pohon, iaitu Rejab umpama waktu keluarnya daun, Syaaban diumpamakan keluarnya bunga dan Ramadan umpama buahnya.

Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rejab bulan Allah dan Syaaban itu bulanku, manakala Ramadan itu bulan umatku." (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Ketiga tiga bulan disebut Nabi s.a.w itu adalah bulan rahmat, kasih sayang dan kesejahteraan. Bulan yang penuh keberkatan dan keampunan.

Sesetengah ulama menyatakan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa manakala bulan Syaaban untuk memperbaiki diri daripada segala macam cela dan Ramadan adalah waktu menyucikan hati dan jiwa.

Syaaban bermaksud berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana pada bulan itu masyarakat Arab dulu bertempiaran ke serata tempat untuk mencari air, sehingga ada yang mencarinya sampai ke gua. Ia juga diertikan demikian kerana menjadi 'bulan pemisah' iaitu memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan.

Nabi s.a.w menjelaskan Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak, dengan nilai berganda bagi mereka melaksanakan kebaikan dan ibadat dengan ikhlas dan bersungguh.
Baginda bertanya kepada sahabat, maksudnya: "Tahukah kamu sekalian mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Mereka menjawab: "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui."

Baginda menjawab: "Kerana pada bulan ini bercabang banyak kebaikan." Dengan keutamaan yang ada pada Syaaban ini, Baginda memanfaatkan kesempatan untuk meningkatkan prestasi ibadat dan amal kebaikan sehingga seolah-olah Baginda tidak pernah melakukan sedemikian pada bulan lain. Nabi s.a.w sendiri sering berpuasa pada bulan ini.

Daripada Saidatina Aishah, beliau berkata maksudnya: "Adalah Rasulullah s.a.w sering berpuasa hingga kami menyangka yang Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka yang Rasulullah akan berbuka seterusnya.

"Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak di bulan Syaaban." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan kepada umat Islam sekalian, Syaaban memang bulan sangat digalakkan beramal ibadat selain bulan lain, sesuai dengan statusnya sebagai gerbang Ramadan.

Rasulullah s.a.w pernah mengumpamakan bulan Syaaban dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi lain.

Sabda Baginda bermaksud: "Keutamaan Syaaban ke atas bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi lain sedangkan keutamaan bulan Ramadan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban ialah memperbanyakkan ibadat sunat termasuk puasa, doa, zikir, selawat dan bertaubat daripada kesalahan yang dilakukan.

Walaupun amalan ini sukar, ganjaran yang menanti adalah berganda. Ibadat sunat pada Syaaban juga sebagai persediaan untuk lebih cergas beribadat siang dan malam pada Ramadan.

Syaaban juga adalah bulan di mana setiap doa orang beriman akan dimakbulkan Allah, sebagaimana dinyatakan Abdullah Umar dalam riwayatnya mengenai hadis Nabi iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Antara solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah sewaktu malam Jumaat, pada malam 10 Muharam, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha."

Rasulullah s.a.w bersabda: "Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam sejarah umat Islam, bulan Syaaban juga menyaksikan beberapa peristiwa penting seperti perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.

Pada bulan ini juga berlaku peperangan Bani Mustaliq iaitu pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memuliakan Syaaban, bertakwa kepada Allah dan taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkan dia pada satu tahun itu daripada semua bencana dan penyakit."

Sumber : myMetro

* Sekadar peringatan utk diri penulis sendiri dan rakan-rakan. Manfaatkan bulan yg mulia ini dengan sebaiknya agar benih yg kita semai pada hari ini dapat kita tuai pada hari pengadilan dan pembalasan kelak. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yg sentiasa mendapat kasih sayang dan perhatian dari Allah S.W.T.

Good Job Bro!!!!!

Oleh : Sdr. Faiz

Penulis ingin berkongsi video di bawah, sekadar hiburan yang bermanfaat utk difikirkan bersama. Pertama kali menonton video di bawah, mungkin tidak keterlaluan jika penulis beranggapan adalah sangat mustahil utk penutup getah tersebut dikeluarkan dari botol tanpa memecahkan botol tersebut. Namun dengan minda hebat yang dianugerahkan oleh Allah, perhatikanlah.....



Di sini jelas, Allah menganugerahkan manusia dengan akal fikiran, minda yang hebat. Sekiranya kita berusaha utk mencapai sesuatu objektif, berusahalah ke arah objektif tersebut tanpa sebarang alasan. Usaha + Tawakal = Kejayaan. Renung-renungkan....

July 30, 2009

Manchester United di Final Audi Cup


Oleh : Sdr. Faiz

Penulis merupakan antara jutaan peminat sukan bola sepak, samada dalam negara atau luar negara. Semestinya pasukan Man Utd adalah pasukan yang penulis minati dari kecil. Semalam telah berlangsung satu perlawanan bolasepak antara Man Utd vs Boca di Juniors Allianz Arena, Munich. Seperti yang penulis jangkakan dari awal, kemenangan pasti berpihak kepada Man Utd dan penulis cukup yakin.

Kemenangan 2-1 ke atas pasukan Boca, telah melayakkan Man Utd bertemu dengan satu lagi pasukan yang tak kurang hebatnya, Bayern Munich di pentas perlawanan akhir. Man Utd bakal menambah koleksi piala kejuaraan dengan kemenangan yang pasti ke atas Bayern, esok. Bagi penulis, perlawanan menjelajah Asia dan merebut Audi Cup kali ini cukup utk pasukan Man Utd menyiapkan diri menghadapi musim baru EPL yang bakal berlangsung tak lama lagi.

Nama-nama besar seperti Wayne Rooney, Ryan Giggs, Berbatov, Ferdinand, Vidic dan diperkuatkan lagi dengan kehadiran Owen dan Valencia cukup utk membuatkan pasukan-pasukan lain dari seluruh eropah bakal kempunan piala kejuaraan. Piala EPL, Piala FA dan Piala Champions League bakal dalam genggaman MAN UTD.

Viva MAN UTD

July 27, 2009

Selamat Datang

Oleh : Sdr. Faiz

Penulis tersenyum sendiri di saat dan ketika ini. Kali pertama menulis blog secara rasmi. Mana tidaknya, tugas hakiki penulis sebagai pegawai latihan di salah sebuat institusi pendidikan membuatkan penulis tergerak untuk memiliki sebuah blog sendiri selain minat penulis dalam membaca dan menulis.

Ramai pelajar penulis bertanya mengenai "BLOG". Persoalan yang selalu terkeluar dari mulut pelajar-pelajar penulis , "En. Faiz ada Blog? boleh kami lihat". Tersenyum lebar bila soalan-soalan sebegitu kerap kali keluar dari mulut pelajar penulis . Saya menghormati pelajar-pelajar penulis kerana kebanyakannya lebih berusia dari penulis . Jawapan penulis cukup mudah, "Belum dapat wahyu untuk create Blog". Nahhhhhhh, hari ini segalanya terjawab dengan lahirnya blog ini di alam cyber.

Adalah menjadi harapan penulis agar kewujudan blog penulis ini, dapat saya gunakan untuk tujuan perkongsian ilmu dan dalam masa yang sama juga dapat berkongsi pandangan dan cadangan dengan semua pihak secara terbuka.

Dengan lafaz Bismilla hirrahma nirrahimm, penulis mengalu-alukan pembaca-pembaca blog ke Laman Blog penulis dengan diiringi komen-komen dan cadangan yang sihat lagi bijaksana, InsyaAllah.

Kepada semua, Selamat Datang ke Laman Blog penulis .